Rupanya Kena Fitnah…

Baru-baru ini tular satu video seorang pakcik kurang upaya berniaga kerepek di sekitar Kedah. Video yang dikongsi seorang pengguna Facebook pada malam Selasa mendapat perhatian ramai netizen yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib pakcik itu serta mengkritik tindakan anaknya.

Terbaru, menerusi Mstar, anaknya telah memberi penjelasan atas apa yang berlaku. Dia meluahkan rasa kecewa dengan kecaman diterima dari netizen tanpa usul periksa.

Bukan saya yang paksa

Itu memang bapa tiri saya, dan wanita yang dirakam dari jarak jauh tu adalah saya bersama seorang rakan. Memang ayah saya berniaga kerepek dan kuih. Ayah dah lama berniaga sejak bersama arwah ibu lebih 10 tahun.

Jadi, berniaga tu memang dia yang nak, bukan saya yang paksa. Dah nasihat pun ayah masih ketegaq (bermaksud degil dalam loghat utara), takkan saya kena ikat kaki dia.

Menerusi Mstar, anak yang didakwa ‘derhaka’ oleh netizen, Aisyah Sudin mengaku video yang dikongsikan pada malam Selasa lalu adalah bapa tirinya, Azmi Che, seorang peniaga kerepek dan kuih.

Aisyah juga terpaksa berhenti bekerja di kantin sekolah bagi menjaga bapanya yang tinggal di rumahnya sejak Jun lalu. Dia turut pernah menasihatkan bapanya itu supaya tidak lagi berniaga atas faktor kesihatan, tetapi bapanya tetap berkeras untuk berniaga dan sebagai anak, dia perlu mengikut kemahuan itu.

Saya memang pantau dari dekat

Kalau saya tak hantar (pergi berniaga), dia akan minta tolong kawan-kawan dia hantarkan. Saya risau pula kalau nanti dia seorang kat tepi jalan. Jadi, saya kena hantar dia ke tempat yang dia nak berniaga, lebih selamat dan mudah saya tahu pergerakan dia di mana-mana.

Dalam video yang tular tu sebenarnya ayah saya belum mula berniaga. Dia nak duduk di meja di gerai. Jadi, saya pergi ke kedai sebentar. Kalau hendak diikutkan, saya memang pantau dari dekat bagi membuatkan ayah selesa dan demi keselamatan ayah.

Selain itu, jelas Aisyah, bapanya yang merupakan pemegang kad OKU tidak mahu diikut semasa berniaga, menyebabkan dia terpaksa memantau bapanya dari jarak tertentu. Sementara itu, pakcik berkenaan, Azmi Che yang berusia 62 tahun mengakui tindakannya yang berniaga bersendirian itu adalah kemahuan sendiri dan bukannya atas paksaan anak-anak.

Saya memang selesa niaga sendiri

Saya memang suka berniaga, macam-macam saya dah berniaga dulu. Jadi, saya bosan kalau duduk saja kat rumah tak buat apa-apa. Lebih baik saya keluar pergi menjual. Memang saya lebih selesa berniaga sendiri, tak nak anak mengikut saya ke sana sini.

Video-video tersebut mengaibkan saya sebagai anak. Dia tak tahu cerita sebenar, sehingga netizen kecam saya macam-macam. Saya minta dia untuk berjumpa dengan saya bagi mendapatkan penjelasan daripada saya sendiri.

Dalam pada itu, Aisyah meminta supaya pengguna Facebook yang memuat naik video tersebut sehingga tular supaya memadamkannya di laman sosial.

Sumber : Mstar

 

Sumber: http://ohbulan.com/rupanya-kena-fitnah/